Friday, January 28, 2011

mula2 chatting..lama2 curang ^^


Ada yang tergoda di Internet hingga bercerai walau sudah puluhan tahun berkahwin.
Kalau program sembang siber atau Internet Chatting/Instant Messaging (IM) menjadi saluran sosial yang menyeronokkan bagi golongan remaja berinteraksi, lain pula jadinya apabila ia melibatkan orang-orang dewasa, terutama yang telah lama berumah tangga.
Apabila saya mempelawa pembaca yang pernah mengalami gangguan hubungan suami isteri gara-gara kecurangan pasangan mereka bersembang di dalam siber, pendedahan yang diberikan agak membuka mata.

Ada pembaca mengakui rumah tangganya yang dibina selama 20 tahun berkecai gara-gara suami berchatting dengan janda dan akhirnya berkahwin lain.
Ada juga terpaksa berpisah dengan isteri yang telah dikahwini selama 30 tahun, gara-gara isteri yang bijak komputer, mendapat kekasih chat lebih muda.
Encik Sahlan, 56 tahun, ketika dihubungi cukup sebak menceritakan perceraian dengan isteri yang telah 30 tahun melayari hidup bersamanya.

SUAMI DIANGGAP MEMBOSANKAN
“Saya tidak nafikan, bekas isteri saya cantik dan menarik orangnya. Dia cukup peramah, berbanding dengan saya.
“Saya memang pendiam dan lebih suka membaca buku atau dengar muzik kalau tidak ada kerja.
“Bekas isteri selalu komplen, saya ni membosankan dan tak sporting. Tetapi pada masa yang sama, saya tidak pernah halang dia berkawan dengan sesiapa saja,” kata guru tuisyen sepenuh masa itu.
Perubahan isterinya, seorang juru akaun, dikesani sejak beliau membeli komputer ribanya sendiri dan mula menyertai rangkaian Multiply.

PESANAN ROMANTIS
“Asal balik kerja, komputer dikejarnya dulu. Saya tengok dia tersengih-sengih dan ketawa sendiri jika chatting.
“Mulanya saya tidak mahu syak apa-apa kerana yakin dia bersembang dengan kawan perempuan,” kata Encik Sahlan.
Namun kecurangan isterinya terdedah apabila pada suatu hari, Encik Sahlan menggunakan komputer tersebut dan termasuk dalam akaun laman Multiply isterinya, Cik Idah, keluar bertemu ‘kawan’.
Alangkah terkejutnya Encik Sahlan membaca rangkaian pesanan yang cukup romantis, bahkan sampai ke bahasa lucah antara Cik Idah dengan teman chattingnya. Gambar si teman lelaki itu turut tersiar. Beliau juga sempat melungsur album siber yang mengandungi gambar-gambar intim isterinya dengan lelaki itu.
“Kepala saya berputar apabila melihat semua itu. Barulah jelas, ke mana selama ini dia berada dan dengan siapa dia berseronok-seronok. Ketika itu saya tahu, saya sudah kehilangan isteri saya,” ujarnya.
Encik Sahlan menjatuhkan talak apabila Cik Idah mengakui mencintai kekasih yang dikenali menerusi alam siber itu.
Seorang lagi pembaca, yang mahu dikenali sebagai Cik Hani, juga memerangkap kecurangan suaminya yang telah dikahwini selama 12 tahun, gara-gara suami terlupa memadamkan lembaran yang mengandungi pelbagai pesanan romantis dan penuh menggoda dengan kekasih Internet yang menggunakan rangkaian sosial Tagged.
“Apa yang mengecewakan, saya kenal wanita itu. Dia aktif di masjid, tempat suami dan saya belajar agama,” kata Cik Hani, pengendali kaunter penerbangan.


DIJERAT SMS
Bukan setakat terjerat di Internet, suami Cik Hani juga dijerat menerusi SMS. Dengan menggunakan telefon bimbit suami, beliau mengirimkan SMS kepada wanita yang disyaki, dengan menyamar diri sebagai suami.
Berdasarkan jawapan balasan SMS yang diterima, ia mengesahkan memang wanita itu dan suaminya sedang bermain kayu tiga.
“Saya masih mahu menyelamatkan rumah tangga saya kerana saya belum sanggup hidup sendirian membesarkan anak-anak. Saya paksa suami tutup akaun Tagged, Hotmail dan Yahoo dia ada. Dia ikut juga, tetapi nampak berat nak buang Yahoo. Walaupun setakat ini saya dapat mengawal keadaan, saya sangat bimbangkan masa depan rumah tangga saya sekarang,” kata Cik Hani, 38 tahun.
Apabila ditanya apakah beliau tahu punca suaminya berlaku curang di alam siber, Cik Hani berkata beliau belum berani mencari jawapannya.
“Cuma berdasarkan apa yang saya baca dalam laman Tagged itu, saya rasakan orang lelaki ini suka berfantasi bukan-bukan. Apa yang dia tidak dapat, itulah dia hendak,” kata Cik Hani.
Cik Wati, menerusi e-melnya pula, berkata, gara-gara hubungan cinta dengan janda menerusi Internet, beliau kini berpisah dengan suaminya.
Cik Wati sedar suami yang dinikahi 20 tahun itu suka sembunyi-sembunyi melungsuri laman lucah, bahkan pernah memuat-turunkan gambar wanita bogel di dalam telefon bimbitnya.
Apabila suaminya mula rajin mengikuti kelas agama di masjid, sangkanya sang suami sudah berubah.
Tanpa disangka-sangkanya, ‘perubahan’ itu membawa petaka yang lebih dahsyat. Ia hanyalah untuk menutupi hubungannya dengan janda yang dikenali menerusi sebuah program rangkaian sosial.
“Pendapatan suami saya sederhana dan keadaan kewangan kami mantap dengan bantuan kewangan dari saya juga. Anak-anak kami terurus dari segi akhlaq dan pelajaran,” kata Cik Wati, yang mengakui lebih berpelajaran tinggi berbanding suaminya.
Namun godaan janda anak empat itu cukup kuat.

PEROSAK KEBAHAGIAAN
Setelah berhari-hari suaminya keluar rumah, berkaraoke dan bermalam di rumah kekasihnya, Cik Wati yakin perceraian adalah jalan terbaik.
“Rumah saya lebih besar, anak-anak saya lebih terurus dan baik-baik.
“Saya hairan, mengapa suami tidak menghargai apa yang dia ada ketika bersama saya dan memilih untuk hidup dengan perempuan yang telah merosakkan kebahagiaan orang lain,” ujarnya.

Credits to: Hanim Mohd Salleh

No comments: