Friday, January 11, 2013

alkisah seorang guru, murid dan magnet merah yang comel..

ketika saya mengajar dalam kelas tingkatan satu, seorang murid lelaki asyik bermain dengan magnet. Saya menegurnya dan meminta dia menyimpan magnet tersebut. Dia mematuhinya. Tetapi tidak lama kemudian , saya dapati dia leka lagi dengan permainan itu. Saya naik marah dan merampas magnet tersebut daripadanya. Dia terkebil-kebil dan kelihatan sedih dengan tindakan saya itu.

saya tidak memulangkan magnet tersebut apabila saya meninggalkan kelasnya. Saya nampak air mukanya yang sedih,tetapi saya mesti bertegas supaya dia tidak mengulangi perbuatan bermain-main  semasa saya mengajar. Murid itu pula tidak berani  untuk meminta semula magnet merahnya daripada saya.

saya ke bilik guru, tetapi wajah sedih murid itu masih terbayang-bayang di kotak fikiran saya. Saya cuba membayangkan perasaannya. Saya memandang sepasang magnet comel yang saya rampas daripadanya. Saya teringat, semasa kanak-kanak dahulu, saya cukup sukakan benda-benda comel begitu ( sekarang pun masih begitu !). Kalau magnet ini milik saya, tentu saya sangat sayangkannya.

saya cuba berfikiran positif. Saya tahu murid itu bukanlah seorang murid yang sangat degil atau nakal. Tetapi mungkin sebagai seorang kanak-kanak dia belum dapat mengawal keinginannya untuk bermain, walaupun ketika itu dia sepatutnya menumpukan perhatian kepada benda lain.Saya terfikir yang kadang-kadang saya juga berperasaan begitu walaupun setelah dewasa kini. Kadang-kadang ada perkara yang kita rasa tidak sabar-sabar hendak melakukannya. Cuma bezanya, sebagai seorang dewasa, kita sudah mampu mengawal perasaan  dan tindak-tanduk kita.

Akhirnya saya dapat memikirkan satu keputusan yang mencipta situasi menang-menang. Saya memanggil murid itu untuk berjumpa saya  secara individu. Apabila dia datang saya bertanya kepadanya,

'kamu sayangkan magnet kamu ni ? "

Dia mengangguk.

" kalau cikgu ambil terus magnet ni, kamu sedih ya ? "

Dia mengangguk lagi.

"Baiklah, cikgu faham perasaan kamu. Sebenarnya cikgu tak mahu pulangkan magnet ini kepada kamu, sebab cikgu sangat marah dengan perbuatan kamu bermain-main semasa cikgu mengajar. Tapi sebab cikgu memahami perasaan kamu yang sayangkan magnet ni, dan cikgu tak mahu kamu rasa sedih, cikgu akan pulangkan kepada kamu. Kamu rasa gembira tak ? "

Dia tersenyum dan mengangguk-angguk. Wajahnya ceria, lalu saya meneruskan.

"Tapi, cikgu nak kamu faham satu perkara. Dalam hidup ni, kita mesti memikirkan perasaan orang lain. Kamu rasa gembirakan, apabila cikgu fikirkan perasaan kamu ? Jadi, kamu pun mesti fikir perasaan cikgu. Cikgu rasa marah dan kecewa  apabila kamu bermain-main semasa cikgu mengajar dan cikgu akan gembira kalau kamu tumpukan perhatian. Cikgu dah gembirakan kamu, boleh tak kamu gembirakan cikgu pula? "

Dia mengangguk lagi dengan senyuman. Sejak hari itu, saya dapati dia tidak lagi mengulangi perbuatan tidak baiknya itu. Saya rasa gembira  kerana dapat menyedarkannya  tanpa perlu membuatkannya marah dan sedih dengan tindakan saya .

p/s : " sesungguhnya ALLAH itu bertimbang rasa dan Dia suka timbang rasa dalam semua perkara. Sesungguhnya timbang rasa itu tidak berlaku pada sesuatu perkara, melainkan ia memperindahnya dan tidak dicabut dari sesuatu, melainkan memburukkannya"

No comments: